Kisah Cinta


Alkisah di sebuah pulau kecil, tinggallah benda
abstrak. Ada CINTA, KEKAYAAN, KECANTIKAN ,
KESEDIHAN, KEGEMBIRAAN dan sebagainya. Pada awalnya
mereka hidup bersama-sama dengan aman dan saling
memerlukan. Namun pada suatu hari, tiba-tiba badai
datang menghempas pulau kecil itu dan air laut
tiba-tiba bergelombang dan menimbulkan ombak yang
sangat besar dan akan menenggelamkan pulau itu.
Semua penghuni di pulau itu segera berusaha
menyelamatkan diri.

CINTA sangat bimbang kerana ia tidak pandai berenang
dan tidak memiliki perahu. Ia berdiri di tepi pantai
untuk meminta bantuan. Ia berdiri di tepi pantai
untuk meminta bantuan. Sementara itu air semakin
naik membasahi kaki CINTA. Tidak lama kemudian,
kelihatan KEKAYAAN sedang mengayuh perahu.

"KEKAYAAN! KEKAYAAN! Tolonglah aku!" teriak CINTA.
Dengan segera KEKAYAAN pun menjawab, " Ohh! Maafkan
aku, CINTA!" kata KEKAYAAN. " Perahuku telah penuh
dengan semua hartaku. Aku tak dapat membawaku
bersama, nanti perahu ini akan tenggelam. Lagi pun
tak ada ruang lagi untuk kau di perahuku ini".

CINTA amat sedih sekali, namun kemudian dia melihat
KEGEMBIRAAN melintasi di depannya dengan sebuah
perahu.

" KEGEMBIRAAN! Tolonglah aku! Teriak CINTA. Oleh
kerana KEGEMBIRAAN terlalu gembira kerana dia telah
menjumpai sebuah perahu, dia langsung tidak
mendengari teriakan CINTA. Air semakin meninggi
membasahi CINTA sampai ke paras pinggang dan CINTA
semakin panik. Tidak lama selepas itu, lalulah
KECANTIKAN di depannya.

" KECANTIKAN! Bawalah aku bersamamu!" teriak CINTA.

" Wah, CINTA kamu sudah basah dan kotor. Aku tak
boleh membawamu bersama. Nanti kau akan mengotorkan
perahuku yang indah ini." Sahut KECANTIKAN. CINTA
amat sedih mendengarnya. CINTA mula menangis
teresak-esak.

" Apa kesalahanku, mengapa semua orang tidak
mempedulikan aku?"

" Ketika CINTA sedang menangis , lalulah pula
KESEDIHAN dengan perahunya.

" Oh, KESEDIHAN, bawalah aku bersamamu," kata CINTA.


" Maaf CINTA. Aku sedang bersedih dan aku ingin
bersendirian...," kata KESEDIHAN sambil terus
mendayung perahunya. CINTA sudah mula putus asa. Air
semakin naik dan akan menenggelamkannya. CINTA terus
berharap agar dirinya akan diselamatkan orang. Dia
berdoa kepada Tuhan, " Oh, Tuhan tolonglah aku, apa
akan terjadi pada dunia tanpa aku, tanpa CINTA?"

Pada saat yang kritikal itu, tiba-tiba terdengar
suara memanggilnya, "CINTA! Mari cepat naik ke
perahuku!" CINTA menoleh ke arah suara itu dan
melihat seorang tua berjanggut panjang memutih
sedang mendayung perahunya. CINTA pun naik ke perahu
itu, tepat sebelum air menenggelamkannya.

Kemudian setibanya di pulau yang berhampiran, orang
tua itu menurunkan CINTA dan segera meninggalkan
pulau itu. Pada ketika itulah, baru CINTA sedar
bahawa dia tidak mengetahui siapakah gerangan orang
tua itu yang baik hati dan telah menyelamatkannya
itu. CINTA segera bertanya kepada seorang penduduk
tua di pulau itu, siapa sebenarnya orang itu.

" Oh, orang tua tadi? Dia ialah 'IMAN'", kata orang
itu.

CINTA pun bertanya lagi, " Tapi mengapakah dia
menyelamatkan aku? Aku tak kenal dia, sedangkan
kawan-kawan yang mengenaliku langsung tidak mahu
menolongku," tanya CINTA kehairanan.

" Sebab, hanya IMANlah yang tahu betapa berharganya
CINTA itu, hanya CINTA sejati bersandarkan IMANlah
yang akan berkekalan hingga ke syurga," kata orang
itu. Setelah itu, fahamlah CINTA akan kepentingannya
di dunia ini. Tanpa IMAN, apalah yang akan terjadi
pada CINTA. Jika tiada IMAN akan hancurlah CINTA
itu.

Sesungguhnya cinta kepada Allah itu yang paling
utama. Cinta bersandarkan iman itu yang paling
berharga. Cinta yang bersandarkan kekayaan,
kecantikan, kesedihan, kegembiraan hanyalah perkara
sementara di dunia ini. Segalanya akan membawa
kepada kehancuran diri dan akan memudahkan syaitan
menjalankan peranannya untuk menghancurkan lagi diri
kita.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku sekalian, ingatlah
bahawa cinta yang bersandarkan iman itulah yang
membawa kita ke syurga. Bagaimana untuk membezakan
cinta bersandarkan iman atau tidak?

Sebagai pasangan kekasih, cinta bersandarkan iman
mestilah tidak membawa seseorang itu kepada
kemaksiatan seperti keluar berdua-duaan dengan bukan
muhrim kita. Tidak berpegangan tangan, tidak berzina
dan sebagainya. Jika sebaliknya, cinta itu hanyalah
bersandarkan kepada perkara duniawi semata-mata
disamping hasutan syaitan dan tuntutan nafsu. Itulah
cinta yang tidak akan berkekalan hingga ke syurga,
hanya keduniaan semata-mata.

Hanya sekadar bercerita....dan dalam bercerita
ambillah iktibar."

cinta illahi, cinta abadi...

Ulasan