Dalam Usaha Menjadi Matang

بسم الله الرحمن الرحيم


Jam berdetik menandakan masa terus berlalu dan berlalu pergi. Hari terus berganjak tanpa mengundur. Dan usia saya terus bertambah hari demi hari, tahun demi tahun. Sering saya terfikir, adakah sikap dan tingkah laku saya berubah sama seperti berubahnya umur saya. Di mana umur itu tidak akan kembali ke satu digit seperti kanak-kanak dulu, tetapi digitnya makin bertambah.

Jika dulu umur saya 2 tahun, sekarang umur bertambah dalam 20an. Jadi saya perlu sedar diri saya kini bukan kanak-kanak lagi dan bukan waktu untuk bersuka ria setiap hari. Dalam melalui hari-hari yang berlalu sebelum saat ini telah banyak memberi pengalaman dan pengajaran buat saya. Pengalaman untuk menjadi dewasa dan pengajaran untuk menjadi matang.

Pada saya dewasa dan matang adalah dua perkara yang berbeza. Ada orang sudah dewasa umurnya tapi tidak matang  sebaliknya ada yang masih remaja umurnya tetapi dia seorang yang matang, dari sudut pemikiran dan sikapnya. 

Untuk menjadi dewasa saya perlu tunggu sahaja waktu yang bergerak. Tapi untuk menjadi matang walaupun masih muda saya tidak boleh menunggu sahaja melainkan berusaha. Berusaha dengan apa cara sekali pun. 

Usaha dalam mengutip secebis ilmu, usaha dalam membina hubungan dan mengeratkan persaudaraan, usaha untuk tidak membuang masa serta usaha untuk bersabar iaitu bersabar dalam menghadapi ujian, bersabar dalam menjalin hubungan, bersabar dalam bersahabat dan sabar dalam beramal.

Jika ada yang lihat saya sepertinya berubah tidak seperti dulu, ingin saya katakan bahawa saya dalam usaha menjadi matang. Bukan saya tidak kuat pegangan, tidak kuat pendirian tapi saya diuji dan dalam ujian itu saya mendapat pengajaran. Suatu pengajaran yang mendidik saya menjadi matang dan lebih beriman (insyaAllah)..

Alhamdulillah, Allah memberi saya peluang itu..


note : BERSABAR DALAM BERUSAHA MENJADI MATANG

Ulasan