Isnin, 11 Jun 2012

Kau Sahabat Kesayangan

بسم الله الرحمن الرحيم

 
Sahabat
Ingatkah lagi waktu kita mula-mula bersua
Waktu kita berjanji setia
Saat kita saling meluah rasa
Saat kita bergelak ketawa dan menangis bersama

Sahabat
Kita makin dewasa
Semua janji setia kita
Kenangan indah dan manis yang dirasa
Peristiwa pahit yang ditelan bersama
Semua itu berubah sekelip mata

Sahabat
Kau dan aku semakin jauh jaraknya
Walau aku di depan mata, terkadang aku terasa
Seolah wujudku hanya bayang-bayang
Yang kau takkan pandang

Sahabat
Terkadang air mataku bergenang
Tanpa kau perasan
Aku kau biarkan

Sahabat
Dulu aku mencari jawapan
Kini aku memahami persoalan
Siapa lah aku untuk kau hiraukan
Aku yang tidak layak menjadi sahabat dan kawan
Kerana aku tidak semulia mereka yang kau anggap teman

Sahabat
Diri ini bukan lagi rakan kongsi
Tempat kau meluah isi hati
Kerana mereka yang hadir telah mengisi
Masih berdiri menemanimu di sisi

Sahabat
Maaf aku mengakui aku menyepi 
Memerhatimu secara sembunyi
Tanpa kau sedari
Aku dibelakang menemani
Berharap kau meminta ku kembali

Sahabat
Jika diri mu mereka khianati
Berpaling lah ke belakang aku setia menanti
Andai itu tidak terjadi
Aku masih sahabat sejati sehingga mati
Walau diri ku tidak kau ingini

Sahabat
Andai kehadiranku ini menyusahkan
Membuat bahu mu terbeban
Aku memohon sejuta kemaafan
Izinkan aku pergi dengan tenang dan aman..


 : Kepada mu Sahabat Kesayangan :




 

Ahad, 10 Jun 2012

Yakin pada Allah

بسم الله الرحمن الرحيم


Jika semalam jalan yang kita tempuh terasa sukar, namun kita berjaya melaluinya dengan pertolongan dariNya.
 Jika kita rasakan jalan hari ini terlalu sukar ditempuh, yakinlah Allah bersama-sama kita ketika ini. 
Jika esok kita lihat lorong-lorong jalan penuh duri, percayalah Allah dan pertolonganNya juga akan bersama-sama dengan kita esok.. 
Bersabarlah atas segala ujian, yakinlah selepas kepayahan, ada kemudahan yang menanti di hadapan =)

note : Terima kasih kerana membangkitkan semangat saya ^_^

Sabtu, 9 Jun 2012

Malam Anugerah Perdana


  بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, Malam Anugerah Perdana akhirnya berjalan dengan lancar. MAP ni masih tetap meriah walau masih ada tanda-tanda kesuraman pada wajah disebabkan sultan klate tidak dapat hadirkan diri. 


Rasanya ini majlis yang paling besar pernah saya hadir dan menjadi penggerak majlis sebab majlis ini melibatkan sultan. Rasa teruja pada awalnya, tapi sehari sebelum majlis berlangsung rasa kecewa sangat bila menerima berita sultan tak dapat hadirkan diri atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Tapi kami tetap menuruskan gerak kerja dengan bersemangat. Ye lah, mana mungkin berputus asa sebab sudah tiga bulan penggerak program bertungkus lumus untuk menjayakan majlis ni terutamanya Ketua Pengarah. 

Tahniah buat semua yang menjayakan majlis makan malam dan anugerah yang Islamik. Persembahan nasyid, qasidah dan dikir barat juga sangat best dan menarik. Dan terima kasih untuk mereka semua yang hadirkan diri pada malam tu!


note: Memang ada hikmah disebalik ketentuan Allah SWT.

Rabu, 6 Jun 2012

Dalam Usaha Menjadi Matang

بسم الله الرحمن الرحيم


Jam berdetik menandakan masa terus berlalu dan berlalu pergi. Hari terus berganjak tanpa mengundur. Dan usia saya terus bertambah hari demi hari, tahun demi tahun. Sering saya terfikir, adakah sikap dan tingkah laku saya berubah sama seperti berubahnya umur saya. Di mana umur itu tidak akan kembali ke satu digit seperti kanak-kanak dulu, tetapi digitnya makin bertambah.

Jika dulu umur saya 2 tahun, sekarang umur bertambah dalam 20an. Jadi saya perlu sedar diri saya kini bukan kanak-kanak lagi dan bukan waktu untuk bersuka ria setiap hari. Dalam melalui hari-hari yang berlalu sebelum saat ini telah banyak memberi pengalaman dan pengajaran buat saya. Pengalaman untuk menjadi dewasa dan pengajaran untuk menjadi matang.

Pada saya dewasa dan matang adalah dua perkara yang berbeza. Ada orang sudah dewasa umurnya tapi tidak matang  sebaliknya ada yang masih remaja umurnya tetapi dia seorang yang matang, dari sudut pemikiran dan sikapnya. 

Untuk menjadi dewasa saya perlu tunggu sahaja waktu yang bergerak. Tapi untuk menjadi matang walaupun masih muda saya tidak boleh menunggu sahaja melainkan berusaha. Berusaha dengan apa cara sekali pun. 

Usaha dalam mengutip secebis ilmu, usaha dalam membina hubungan dan mengeratkan persaudaraan, usaha untuk tidak membuang masa serta usaha untuk bersabar iaitu bersabar dalam menghadapi ujian, bersabar dalam menjalin hubungan, bersabar dalam bersahabat dan sabar dalam beramal.

Jika ada yang lihat saya sepertinya berubah tidak seperti dulu, ingin saya katakan bahawa saya dalam usaha menjadi matang. Bukan saya tidak kuat pegangan, tidak kuat pendirian tapi saya diuji dan dalam ujian itu saya mendapat pengajaran. Suatu pengajaran yang mendidik saya menjadi matang dan lebih beriman (insyaAllah)..

Alhamdulillah, Allah memberi saya peluang itu..


note : BERSABAR DALAM BERUSAHA MENJADI MATANG

Isnin, 4 Jun 2012

Usah Menangis Sayang


بسم الله الرحمن الرحيم

Tanpa menghiraukan exam yang makin menghampiri, saya berjaya habiskan sesi membaca novel 'Usah Menangis Sayang' buat kali kedua =)

Sebenarnya saya bukan peminat setia novel, tapi disebabkan masa ulangkaji tadi, hanya dapat habiskan dua muka surat je. Kemudian tak dapat nak teruskan. Teringin nak baca novel, tapi dalam bilik ada satu novel je. Itu pun beli masa nak habiskan baucer buku dulu.


Novel ni berkisar tentang persahabatan dan percintaan. Masa mula-mula baca dulu saya target mesti novel ni berkisar tentang kisah cinta yang lebih kurang sama dengan novel-novel yang pernah saya baca. Tapi bila dah habis baca ada kelainan sikit.

Kisahnya lebih kurang tentang kisah hidup sepasang bekas suami isteri yang telah disahkan cerai bila si suami tertalak si isteri dengan talak tiga. Semuanya disebabkan kemarahan yang menguasai si suami sedangkan mereka sebenarnya masih sayang dan saling menyintai. So, bagaimana mereka nak bersama semula? Siapa yang berkorban dan siapa yang terkorban?

Lebih kurang macam tu la ceritanya. Saya tak pandai pula nak buat rumusan. Bila saya mula bercerita panjang lebar jadinya. Kisah ni agak menyentuh hati saya. Sebab saya juga seorang isteri. Itu saja yang boleh saya rumuskan.

hapuskan air matamu, aku sentiasa disisi menemanimu








notes : Novel ni memberi pengajaran bahawa cinta pada Allah adalah yang abadi. Cinta pada suami/isteri sepatutnya tidak melebihi cinta kita pada Pencipta.



Ahad, 3 Jun 2012

Saya seorang isteri

 بسم الله الرحمن الرحيم

Sekarang merupakan musim minggu ulangkaji.. Tapi bila tiba minggu ulangkaji setiap tahun, saya akan isi hari-hari saya dengan mengedit blog, menonton movies, keluar jalan-jalan dan tidur. Walau apa pun saya takkan lupa tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar, jadi saya tetap mengulangkaji pelajaran. Cuma mesti pada saat-saat akhir. Sejak tahun satu sampai la dah akhir tahun tiga ni perangai masih tak berubah. 

Sebenarnya nak melepaskan rasa kepenatan selama ini yang terlalu sibuk dengan tugasan, projek, dan sengaja buat sibuk. Kalau diikutkan semester lepas lebih sibuk dari semester ni, tapi saya masih mampu menaikkan pointer saya. Jadi, semester ni saya berazam nak naikkan lagi pointer. Dah dekat exam baru nak buat azam. Walau bagaimanapun, selagi tidak masuk ke dewan exam, masih belum terlambat nak berusaha. Usaha itu tangga kejayaan.

Itu cerita tanggungjawab seorang pelajar. Macam mana pula dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah, sebagai seorang anak dan tambah lagi satu sebagai seorang isteri. Panggilan 'isteri' rasa masih baru dengan diri saya. Mungkin bagi orang lain 5 bulan itu sudah lama mungkin juga baru. Tapi bagi saya seolah baru 5 hari. Sebabnya kami tinggal berjauhan. Lepas majlis akad nikah terus datang u. Suami pula tinggal di kampung. Bila cuti semester, dia pula yang mula belajar. 


Tapi, Alhamdulillah, kami tetap diberi peluang untuk berjumpa walau sehari dua. Tak sabar pula nak balik bercuti nanti. Banyak perancangan yang dirancang, moga-moga perancangan yang baik itu dapat dilaksanakan. Kita merancang Allah juga merancang, dan sebaik-baik perancangan hanya dari Allah, Dia jua lah yang menentukan.

notes: SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN BUAT SAHABAT2 PIBA. DO THE BEST!!



Jumaat, 1 Jun 2012

AYAHKU SAYANG

بسم الله الرحمن الرحيم



Ayah. Satu perkataan sebagai panggilan untuk seorang insan. Insan yang menjadi suami kepada seorang ibu yang melahirkan kita. Insan yang terletak di bahunya satu amanah berat dengan beribu tanggungjawab. Tanpa merasa berat dan tanpa merasa terbeban, seorang ayah melaksanakan amanah demi menjadi seorang anak kepada ibunya, suami kepada isteri,, ayah kepada anak-anak, seorang pemimpin kepada keluarga, seorang kuli kepada majikannya, seorang majikan kepada pekerjanya, seorang ahli dalam masyarakatnya dan seorang hamba kepada Pencipta.

Ayah saya anugerah untuk saya, dan saya serta adik-beradik merupakan amanah dan rezeki yang dikurniakan kepada ayah. Ayah mencuba menjalankan amanah sebaiknya dan seadilnya. Ayah menjaga kami dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah kami merasa seolah kasih ayah lebih tertumpah kepada adik-beradik yang lain. Apa saja yang kami pinta diturutinya selagi dia mampu.

Ayah saya adalah guru saya. Ayah kami bukan sahaja cikgu kepada murid-muridnya di sekolah, tetapi juga cikgu buat kami. Ayahlah yang mengajar kami mengenal Pencipta, mengenal Rasul dan Nabi kita. Sejak kecil kami semua mengaji Quran dengan ayah. Kata ayah, belajar mengaji dengannya lebih baik dari berguru dengan orang lain. Teringat waktu kanak-kanak tiap kali waktu mengaji kami gembira dicampur gelisah. Sebab waktu mengaji kami setiap hari dari pukul 9 malam sampai 12 malam kadang-kadang terlebih. Selalu pula sampai kami tertidur menunggu giliran. Tapi ayah tak benarkan kami sambung tidur malah kami mesti juga mengaji di depannya. Kadang-kadang ayah memarahi kami sampai menangis kerana salah bacaan. Selagi bacaan kami tidak betul ayah akan minta kami ulang, ulang dan ulang. Walau dah menangis ayah takkan minta kami berhenti.

Ayah saya inspirasi saya. Sepanjang meniti perjalanan demi menjadi seorang pendidik, ayahlah sumber inspirasi saya. Dalam menjadi seorang pendidik, ayah menjadi contoh untuk saya ikuti, bukan sahaja dari sudut ilmunya tetapi juga dari sudut sifatnya sebagai guru. Ayah dari sudut pandangan mata saya. Seorang pendidik yang ramah mesra dengan semua muridnya, yang menerima mereka seadanya, yang sentiasa menghulur bantuan semampunya. Ayah tidak pernah lupa nama dan wajah muridnya. Walau bertahun-tahun mengajar, berpindah-randah dan berbatu-batu ditinggalkan ayah sentiasa mengingati wajah-wajah anak didiknya. Ayah sentiasa membuat saya kagum dan berbangga dengan sikapnya.

Ayah saya seorang yang penyabar. Ayah terlalu banyak pengorbanannya untuk mendidik dan membesarkan kami. Usah dikira wang ringgit yang dihabiskan, titik-titik peluh yang menitis, kudrat dan masa yang dikeluarkan, ayah tidak pernah mengeluh atau mengungkit. Banyak ujian berat yang Allah timpakan kepada ayah. Walau anaknya pernah membuat kesilapan, ayah akan berkata "itu mungkin silap ayah dalam mendidik." Walau hakikatnya kami yang salah. 

Ayah yang sebatang kara, tiada saudara mara. Sejak kecil ayah seorang yatim piatu. Tidak mengenal erti kasih seorang ayah, tapi ayah mampu memberikan kami kasih sayang seorang ayah yang tidak dapat diletakkan nilai harga. Walau bagaimana pun cara ayah mendidik kami, kami menerimanya dengan penuh memahami bahawa itulah cara ayah menunjukkan kasih sayang dan cintanya kepada kami. 

~KAMI SAYANG AYAH~




Program Kampung Akademik bersama Murid Orang Asli

بسم الله الرحمن الرحيم

 Program Kampung Akademik bersama murid orang Asli, Kampung Kenang, Sungai Siput, Perak.
Kalau sebelum ni buat khidmat masyarakat untuk orang Asli, kami pergi tinggal kat kampung mereka, tapi kali ini kami pula bawa mereka ke tempat kami (UKM). Tapi untuk anak-anak je la, amek dan apak tak ikut sekali. mereka semua ni pelajar tahun 5 dan 6 Sk Kampung Kenang.


gambar di bawah ni waktu mereka berada di kidszania












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...